BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 21, 2010

Kisah Hikayat Malim Deman

                                                 HIKAYAT MALIM DEMAN

      Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.

     Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya. Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak disukainya.

      Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.

       Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga.

Thursday, October 14, 2010

Seloka Pak Kaduk

Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
Cerita Pak Kadok telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" yang turut memuatkan beberapa cerita-cerita rakyat popular yang lain seperti Pak Kadok, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang, Si-Lunchai oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman.
 Cerita kelucuan
Amat menarik mengenai cerita lelucuan adalah ia merupakan satu genera cerita yang terdapat dalam banyak kebudayaan sehinggakan zaman moden. Sebagai contoh Don Quixote dalam kebudayaan Sepanyol, 3 Stooges dan Austin Power dalam budaya Amerika Syarikat, Mr Bean dalam budaya British.
Terdapat kemungkinan bahawa genera cerita sebegini merupakan satu cara manusia melepaskan ketegangan dalam kehidupan seharian, atau sebagai cara membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya mereka melakukan apa yang tersemat di dalam hati mereka. Atau satu lagi kemungkinan, ia merupakan sindiran bahawa seseorang itu tidak boleh terlalu jujur / lurus bendul sehinggakan dia diambil kesempatan oleh mereka yang berniat jahat. Walau apapun sebabnya, wujudnya genera cerita sedemikian dalam pelbagai kebudayaan menunjukkan terdapatnya satu persamaan dalam tarikan cerita lelucuan yang merentasi halangan pelbagai budaya.
Lagenda Ikan Tapah – Hikayat Pak Kadok
Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun
 Bermula Kisah
Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.
 Si Kaduk
Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan Raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayarannya lalu datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.
Ayam
Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam lalu ular tersebut meletakkan telur tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur ayam tersebut dan dieramkan oleh ayam ternakannya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk para pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Si Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana Putih Mata . tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam handalnya itu.
 Kisah Pertarungan dan Persabungan Ayam
Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya.
Dan di pihak Sultan pula: Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri Perak jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama ia tidak menyabung ayam.
Lantas dengan penuh debarannya Pak Kadok menunggu hari penyabungan ayam bersama baginda Sultan, Pak Kadok sekali lagi telah melakukan perbuatan yang tidak masuk akal. Dengan sebab majlis penyabungan ayam tersebut dibuat di istana Sultan, Pak Kadok telah merasakan ia perlu menyiapkan diri dengan pakaian yang lebih baik ketika hari penyabungan berlangsung. Pak Kadok sedar yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian baru kerana dia adalah orang yang miskin. Dia telah meminjam sedikit wang daripada isterinya untuk membeli kertas kajang yang besar. Lalu apabila pulang dari pasar, Pak Kadok telah memberikan kertas kajang yang baru dibeli olehnya itu kepada isterinya untuk dijahit sebagai baju melayu, seluar dan tengkolok. Isteri Pak Kadok begitu hairan dengan arahan suaminya itu namun ia tetap akur untuk menjahit. Tatkala, bermulanya hari penyabungan, Pak Kadok telah memakai baju kertas yang dijahit rapi oleh isterinya itu.

 Kekalahan
Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Pak Kadok yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Pak Kadok pun bersorak sakan kerana ayamnya menang sehinggakan baju dan seluar kertasnya terkoyak rabak dan yang hanya tinggal Pak Kadok bertelanjang bulat. Sultan dan para penonton telah mengetawa dan mengejek Pak Kadok atas keadaannya ketika itu. Dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan. Pak Kadok berasa amat malu dan terus pulang kerumahnya, lalu menceritakan perkara sebenar kepada isterinya. Isteri Pak Kadok pada mulanya berasa sangat marah dengan keadaan berbogelnya Pak Kadok itu, tetapi ia tetap meminta untuk Pak Kadok bersabar, bertenang dan meminta perlindungan dari Allah.
Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu menanam padi huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetapi ia tetap juga begitu.
Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Diberitakan oleh Hajah Halimah binti Abdullah (cucu kepada Ngah Jabor atau Imam Prang Jabar, pengasas Kampar) Pak Kaduk pada mulanya apabila ternampak ikan tapah itu tidaklah tahu bagaimana cara untuk menguruskannya (mungkin kerana terperanjat dan buntu) tetapi dengan tiba-tiba seekor Burung Kakaktua telah hinggap diatas dahan sebatang pokok yang meneduhi diri Pak Kaduk lalu berbunyi "Blah pruut..blah pruut". Perkataannya itu dianggap Pak Kaduk sebagai membelah perut ikan itu, lalu dengan segeranya Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.
 Sumpahan

Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan
Maka Pak Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…”
Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air.

Tebus

Pak Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.
Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segalanya selesai, Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa.
Diantaranya Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis. Pak Kaduk juga telah mengikat perjanjian dengan Sultan Perak pada waktu itu untuk tidak membenarkan dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya untuk membuat perkara larangan istana perak ataupun pantang larang DiRaja Perak misalnya membela kucing hitam, mempunyai buaian buluh dan sebagainya sepertimana yang termaktub dalam Adab Pantang Larang DiRaja Perak.

Kisah Pak Pandir

        Al kisah, maka adalah kononya sebuah hutan. Maka di dalam hutan itu ada dua orang miskin laki isteri. Akan yang lakinya itu bernama Pak Pandir dan isterinya itu bernama Mak Andeh. Ada pun Pak Pandir itu tersangatlah bodoh serta dengan dungunya. Maka kerjanya itu bercucuk tanam pada sepanjang masa.
        Dengan hal yang demikian, beberapa lamanya, Mak Andehpun hamillah. Setelah genap bulannya, maka Mak Andeh pun bersalinlah seorang perempuan. Maka Pak Pandirlah bidannya. Telah selamat lalu di peliharakan dengan sepertinya.
          Tiada berapa lamanya, dengan takdir Allah, maka kanak-kanak itu pun dapat sakit guam, serta dengan demamnya. Tersangatlah susah hati Mak Andeh, teristimewa pula makan pun tiada berlauk oleh ia pun didalam pantang lagi. Maka Mak Andeh meneriak Pak Pandir, katanya pergilah awak memancing kesungai-sungai itu moga-moga dapat ikan, bolehlah diperbuat lauk. Aku hendak makan pun tidak lalu, kerana tiada berlauk. Dan aku pun hendak pergi tiada lalu, oleh sakit badan ku lagi.
Maka sahut Pak Pandir, aku hendak memancing apa umpannya, Andeh?
Maka jawab isterinya, tangkaplah belalang rusa itu, umpankan pada taut besar kita itu.
Maka jawab Pak Pandir, ya baiklah Andeh.
        Maka Pak Pandir pun pergilah membawa tali dan taut serta parang sebilah, lalu berjalan ia masuk kedalam hutan hendak mencari rusa akan umpan tautnya. Ada seketika ia berjalan, sampailah ia kepada suatu repoh muda. Maka terpandanglah olehnya seekor rusa jantan sedang tertidur dengan terlalu nyedarnya. Maka Pak Pandir pun datanglah perlahan-lahan, lalu diikitnya dengan tali tangan dan kaki rusa itu, kemudian di helanya. Maka rusa itu pun terkejutlah jaga lalu bertempek hendak lari, tiadalah dapat lagi oleh sudah di bebatnya seperti lepat. Beberapa pun ia melompat dan menghempas menerajang, makin lama semakin letih. Maka oleh Pak Pandir dihelanya juga tiada berhenti, hingga sampai ke tepi sungai berhampiran dengan rumahnya. Maka disitu hendak ditahankannya taut itu. Kemudian ia pun menebang sebatang kayu akan baur tautnya itu. Telah sudah lalu di cangkukkannyalah mata taut itu kebelakang rusa itu. Maka rusa itu pun menjeritlah oleh kesakitan. Kemudian dicampakkannyalah taut itu kedalam sungai itu. Wah apatah lagi, rusa itu pun menghempas dan berguling-guling oleh kelemasan. Mak Andeh nantilah, kalau taut kita di makan oleh ikan, bolehlah makan lauk.
Maka ujar Mak andeh, baiklah.
    Setelah itu, Pak Pandir pun pergilah membuat apa-apa kerjanya. Maka rusa umpan taut Pak Pandir itu pun oleh tersangat sejoknya, menhempaslah ia serta dengan tempeknya yang amat kuat. Maka kedengaranlah kepada Mak Andeh. Ia pun terkejut seraya memanggil Pak Pandir bertanyakan apa bunyi yang demikian dasyatnya itu. Maka jawab Pak Pandir, apa Andeh tak tahukah? Itulah umpan taut yang Andeh suruh tahan tadi.
    Maka kata Mak Andeh, apa benda umpannya sampai begitu besar bunyinya? Maka jawab Pak Pandir, kata Andeh tadi cari rusa jantan buat taut. Itulah aku tangkap seekor rusa jantan, aku cangkukkan pada mata taut itu ditengah belakangnya dan kakinya aku ikat.
Kemudian kata Mak Andeh, rusakah yang awak buat umpan itu?
Maka jawab Pak Pandir, yalah rusalah yang aku umpankan taut itu.
    Maka Mak Andeh pun marahlah akan Pak Pandir serta dengan tengking herdeknya akan Pak Pandir. Katanya, pergilah ambil bawa kemari taut serta dengan umpannya itu! Sahajakan yang bingong tolol tak boleh diharap sbarang kerja semuanya tak tahu.
     Maka Pak Pandir pun segeralah pergi mengambil taut bersama dengan umpanya dihelanya berpusing-pusing hingga sampai kehalamannya seraya berkata, nah Andeh, lihatlah oleh mu apa namanya ini.
     Mak Andeh pun datanglah kepintu melihat yang diseret oleh Pak Pandir itu. Wah apabila dilihatnya terkejutlah ia seraya berkata, Cheh, Pak Pandir bodoh, mati bangat. Aku suruh cari belalang rusa membuat umpannya, apa guna di tangkap rusanya pula? Jikalau sudah dapat rusa, usahlah menahan taut lagi, daging ini bukankah lauk juga?
    Maka Pak Pandir pun diamlah terkulat-kulat. Kemudian kata Mak Andeh, asah parang itu, boleh disembelih lekas-lekas, kalau lama nanti mati pula rusa ini.
    Maka Pak Pandir pun pergilah mengambil goloknya yang berhulu buluh dan disarungkan upih itu, lalu diasahnya sampai tajam. Diberikannya kepada Mak Andeh. Katanya sembelihlah Andeh.
    Maka kata Mak Andeh, aku orang perempuan, dimanakan boleh menyembelihnya, aku mana tahu? Andehlah sembelih. Kemudian kata Mak Andeh, sembelihlah boleh aku tunjukkan.
    Maka dikatakan oleh Mak Andeh segala pekerjaan menyembelih itu, lalu diperbuatlah oleh Pak Pandir. Maka apabila rusa itu merasa sakit, ia pun menghempaslah dengan sekuat-kuatnya. Maka Pak Pandir pun bersebuklah memegangkan rusa itu dengan sekuat hatinya.
    Hatta, rusa itu pun matilah, lalu dilapah oleh Pak Pandir daging rusa itu, separuh dibuat salai dan separuh di panggang dan diperbuat pacak. Barulah separuh masak Pak Pandir pun tampillah meratah daging itu. Maka diintai oleh Mak Andeh akan kelakuan Pak Pandir itu seraya disergahnya. Katanya, Apa Pak Pandir buat meratah daging belum masak lagi itu?
 Maka sahut Pak Pandir aku makan sedikit sahaja, Andeh. Nahlah rasa sedikit dahulu.
 Maka kata Mak Andeh, tiada aku ingin muntahkan darahlah oleh awak seorang.
     Maka Pak Pandir pun diamlah sambil menyalakan api salainya. Setelah masak sekaliannya, lalulah berbahagi dua, Pak Pandir separuh, Mak Andeh separuh. Maka bahagian Pak Pandir ditaruhnya didalam karung, digantung ditulang bumbung. Sehari-hari di panjat dimakannya. Dan bahagian Mak Andeh diserkapnya di bawah kawah, tiada diketahui oleh Pak Pandir.
      Setelah habislah salai Pak Pandir, maka Mak Andeh, apabila ia hendak makan dikeluarkannya sediki-sedikit. Telah di lihat oleh Pak Pandir akan Mak Andeh makan berlauk salai lalu dipintanya. Katanya ambilkan aku sedikit, andeh, daging salai itu.
       Maka kata Mak Andeh, Pak Pandir punya kemana perginya? Sedangkan awak yang banyak lagi sudah habis, inikan pula aku yang sedikit.
       Maka Pak Pandir pun diamlah, makan nasi dengan garam sahaja terkulat-kulat. Maka kasihan hati Mak Andeh, di berinya sekeping daging salai itu seraya katanya, sudah, jangan minta lagi. Sudah habis ya Pak Pandir.
       Maka kata Pak Pandir, Kalau habis tiadalah aku hendak lagi. Jika ada, aku hendak juga. Andeh sahaja makan berlauk aku tiada tentu aku tiada lalu makan.
      Setelah lepas makan, hari pun malamlah. Hatta, pada keesokan harinya, kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, sekarang jerangkan air keapi. Setelah panas suam-suam kuku mandikanlah anakku ini. Aku hendak pergi mencari ubat budak ini.
       Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun pergilah mencari daun genggayang membuat pupuk anaknya kepala anaknya itu. Sepeninggalan Mak Andeh pergi itu, Pak Pandir pun melekat api menjerangkan air di dalam kawah. Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang gelora. Maka diambilnya anaknya itu, di masaukkannya kedalam kawah itu, lalu matilah menyeringai gusinya serta menggelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, Amboi sukanya anakku mandi air panas rupanya.
      Kemudian lalu diangkatnya budak itu dari dalam kawah, di timang seraya berkata hai suka sangat anakku mandi. Mandilah lagi. Serta di masukkannya pula kedalam kawah itu.
      Maka seketika lagi Mak Andeh pun baliklah membawa daun gengganyang akan ubat anaknya, langsung naik kerumah mendapatkan anaknya. Maka dilihatnya tiada anaknya di tempat tidurnya itu. Maka Mak Andeh pun meneriakkan Pak Pandir seraya berkat, kemana perginya anak kita di sini? Maka sahut Pak Pandir, ini bukankah dia, sedang ku mandikan. Cuba juga lihat, terlalu suka dia Andeh.
       Maka Mak Andeh pun segeralah pergi kedapur melihat anaknya itu. Terpandanglah si anak itu telah terjeringing di dalam kawah yang sedang mendidih airnya dengan gelora sangat itu. Maka Mak Andeh pun mengucap, demikian katanya, Astaghfirullah! Apa mulanya Pak Pandir demikian? Cheh, Pak Pandir sial bedebah tak mahu ditangkap harimau panjang tujuh, buaya panjang sembilan, supaya bangat matinya. Adakah patut air yang seperti ini panasnya itu dicelurkan kanak-kanak! Amboi, gunung payung, intan gemala, urat rambut batu kepala emak, matilah anakku! Sampainya hati bapamu membunuh akan dikau.
      Maka berbagai-bagailah bunyi ratap tangis Mak Andeh, lalu dipalunya akan Pak Pandir serta ia mengambil anaknya. Demi didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh anaknya sudah mati itu, barulah ia menangis serta menghempaskan kepalanya pada segenap bendul dan tiang rumah itu, sepertikan gila lakunya hingga mendatangkan ketakutan pula kepada Mak Andeh melihatkan kelakuan Pak Pandir itu, kalau-kalau ia mengamuk pula. Maka Mak Andeh pun berkata, janganlah Pak Pandir tersangat risaukan kematian anak kita ini. Baiklah awak pergi tanamkan budak ini, balutkan dengan belat ini dahulu, kemudian tanamkan.
      Setelah Pak Pandir mendengar perkataan Mak Andeh itu, maka ia pun pergilah membalut anaknya itu dengan belat lalu dipikulnya, dibawa ketempat perkuburan.
      Arakian, telah sampai separuh jalan anaknya itu pun terjatuhlah dari dalam gulungan belat itu, tiada di ketahui oleh Pak Pandir. Setelah sampai ke kubur, ia pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat segulung itu tiada dengan periksanya lagi, lalu ditimbusnya. Kemudian ia pun berjalan pulang. Apabila ia sampai separuh jalan maka bertemulah ia dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi. Maka apabila di lihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka ia pun berfikir dihatinya, Hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini.
     Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Serta sampai ke halaman tangganya ia pun berseru akan perempuannya, katanya, Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita.
     Maka sahut Mak Andeh, agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir ditengah jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar.
     Maka kata Pak Pandir, tidak Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi. Maka sahut Mak Andeh baiklah, moh kita lihat pula. Kata Pak Pandir, mohlah, Andeh aku tunjukkan. Maka kedua-duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, inilah dia anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh.
    Telah dilihat oleh Mak Andeh, dikenalnyalah akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu. Lalu di balutkan anaknya, ditanam semula. Setelah sudah keduanya pun pulanglah kerumah dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir laki isteri.
    Maka kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, esok hari pergilah awak membeli kerbau. Nah wang empat puluh rial. Boleh kita kendurikan anak kita barang sesuap nasi dan seteguk air.
     Maka jawab Pak Pandir, bagaimana rupa kerbau itu, Andeh? Maka kata Mak Andeh yang meragut-ragut rumput itulah kerbau. Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Kemudian keduanya pun tidurlah berkaparan.
     Hatta setelah keesokan harinya, maka Pak Pandir pun pergilah hendak mencari kerbau, membawa wang empat puluh rial, berjalan masuk hutan keluar hutan, masuk rimba keluar rimba lalu sampailah ia kesebuah ladang padi. Maka didalam ladang itu adalah pula seorang perempuan tua sedang merumput dengan keri. Maka kata Pak Pandir, hai emak, mahukah menjualkan kerbau yang dipegang itu?
      Maka jawab perempuan itu, tiadalah sekali-kali hajat hendak menjualkan dia, kerana sahaya memakai sendiri. Maka kata Pak Pandir, juallah biar sahaya membeli akan dia. Nahlah, ini wangnya empat puluh rial. Ambillah.
      Lalu dihantarkannya di hadapan orang tua itu, dan kerbau itu pun diambilnya. Maka orang tua pun tiadalah terkata-kata lagi, istimewa pula melihatkan wang empat puluh rial itu, lalu diamlah ia. Maka oleh Pak Pandir keri itu pun dibubuhnya bertali pada hulunya, ditariknya pulang kerumahnya. Maka sepanjang-panjang jalan itu, mata keri itu mengenai keting Pak Pandir, habis luka dan berdarah. Maka kata Pak Pandir cheh bedebah celaka ini terlalu bengkeng pula ia menanduk kaki kita. Tetapi keri diseretnya juga.
     Tiada berapa lamanya sampailah ia kerumahnya, lalu Pak Pandir meneriak Mak Andeh. Katanya, Andeh, nahlah kerbau Andeh. Maka kata Mak Andeh, tambatkanlah dahulu kepada tempat yang berumput itu. Maka keri itu pun ditambatkan oleh Pak Pandir. Ia pun naik kerumah menunjukkan kakinya yang dimakan keri itu. Katanya terlalu bengis sekali kerbau jembalang itu. Dan berbagai-bagai rungutnya.
      Demi dilihat oleh Mak Andeh kaki Pak Pandir seakan-akan di makan parang, maka Mak Andeh, dimana kerbau itu awak tambatkan. Maka sahut Pak Pandir, kepada rumput itulah aku tambatkan. Maka Mak Andeh pun turunlah pergi melihat kerbau itu. Hingga puaslah di carinya kesana kemari tiada juga di jumpanya. Maka kata Mak Andeh di manakah awak tambatkan kerbau tadi? Penat sudah aku mencari, tiada juga bertemu. Maka kata Pak Pandir, aku tengah makan nasi, nantilah dahulu. Seketika lagi ia pun sudah, lalu turun pergi menunjukkan kerbau itu. Maka katanya, ini apa, Andeh? Bukankah kerbau? Sahajakan mata Andeh seperti orang buta. Maka Mak Andeh pun pergilah kepada Pak Pandir hendak melihat kerbau itu dengan terintai-intai mencari kerbau serta dengan herannya. Maka Pak Pandir pun berkata ini, ini dia kerbau Andeh.
     Lalu ditariknya tali keri itu. Apabila dilihat oleh Mak Andeh, wah apatah lagi! Tak ketahuanlah bunyi maki hamun sumpah seranahnya akan Pak Pandir seraya berkata, inilah agaknya kerbau bapa engkau yang bengong tolol itu! Adakah begini rupa kerbau? Allah! Allah! Pak Pandir padanlah nama dengan bodoh. Pergi lekas pulangkan keri ini. Bukannya kerbau, inilah keri, gunanya merumput padi. Dan minta kerbau yang betul, kakinya empat, tanduknya dua.
     Maka Pak Pandir pun pergilah menarik keri itu hendak memulangkan kepada tuannya. Selang tiada berapa lamanya sampailah ia kepada orang tua itu. Maka kata Pak Pandir, hai emak tua, ambillah balik kerbau ini. Kata Andeh , ia suruh minta kerbau yang bertanduk dan berkaki lagi hidup. Maka orang tua itu pun tercengang seraya berfikir didalam hatinya, Pak Pandir rupanya orang ini. Maka kata orang tua itu, hai Pak Pandir nantilah di sini dahulu supaya aku ambilkan kerbauku di kampung.
      Maka Pak Pandir pun berhentilah disitu menanti-nantikan orang tua itu kembali. Ada seketika orang tua itu pun datanglah membawa kerbau lalu diserahkannya kepada Pak Pandir. Maka Pak Pandir pun berjalanlah menarik kerbau itu. Tetapi sampai kerumah, maka ia pun menyeru Mak Andeh, katanya Andeh marilah lihat kerbaukah ini atau bukan?
      Maka Mak Andeh pun keluar. Katanya itulah kerbau yang betul. Tambatlah ia kepada rumput yang muda itu. Telah sudah ditambat oleh Pak Pandir , ia pun naik kerumah lalu makan nasi. Ada sekejap lagi, hari pun malam. Pak Pandir laki isteri pun mesyuarat hendak kenduri pada esok hari. Telah tetap kira-kira keduanya pun tidur.
      Hatta pada pagi-pagi esoknya, Pak Pandir pun merapus kerbau lalu disembelihnya. Telah matilah sudah, Pak Pandir pun tampillah melapah kerbau itu berdua dengan Mak Andeh. Telah siap lalu dibawa kerumah serta di masaki oleh Mak Andeh segala lauk-lauk dan nasi berpuluh-puluh kawah dan kancah.
     Setelah selesai sekaliannya, maka kata Mak Andeh, pergilah awak segera menjemput haji dan lebai, kita berkenduri. Maka kata Pak Pandir, bagaimana rupa haji dan lebai itu, Andeh? Maka jawab isterinya. Ada pun haji itu berserban di atas kepalanya dan lebai itu berjanggut-janggut di bawah dagunya itu. Maka ujar Pak Pandir baiklah Andeh. Maka ia pun mengambil goloknya lalu turun berjalan mencari haji lebai yang seperti pesan Mak Andeh itu, masuk hutan rimba keluar kepadang lalu kesebuah kampung orang.
     Maka dilihat oleh Pak Pandir disisi kampung itu adalah beberapa ekor kawan kambing sedang makan rumput. Semuanya berjanggut. Maka Pak Pandir pun hampirlah kepada kawan kambing itu serta berkata, Hai Pak Lebai, andeh mengajak kerumah hendak kenduri. Maka kambing itu pun berbunyilah oleh ketakutan melihat Pak Pandir itu, lalu ia lari tiada berketahuan lagi seraya berbunyi ‘ Bek! Bek!' kata Pak Pandir, apa sebenarnya Pak Lebai mengata nasi Andeh lembek? Tidak lembek, keraslah betul.
     Maka kambing itu pun lari juga hendak pulang kekampung. Maka kata Pak Pandir, aku itulah yang terlalu panas rasa hatiku. Andeh sudah penat bertanak nasi dikatanya pula nasi lembek. Maka Pak Pandir pun berselampitkaan kainnya berlari mengejar kawan kambing itu dengan bersungguh-sungguh hatinya serta ditangkapnya. Dapat seekor bapa kambing jantan, langsung dipikul dibawanya pulang.
      Maka pada pertengahan jalan itu bertemulah ia dengan sekawan burung pipit uban sedang merayap diatas rumput. Maka kata Pak Pandir, Hai Haji, mari kita pergi kerumahku. Andeh menyuruh ajak, kami hendak kenduri. Maka burung itu pun berbunyi, ‘Pit! Pit!' Maka kata Pak Pandir, rumah kami tidak sempit, haji luas dan besar. Jangan kita lambat lagi, Andeh sudah lama menanti.
      Setelah itu pipit tu pun terbang lari. Maka diusir juga oleh Pak Pandir sambil berkata, Nanti, nanti kita pergi bersama-sama. Hingga penatlah ia mengikut burung itu, hampir-hampir lelah. Maka naiklah berang Pak Pandir seraya mengambil kayu lalu dilemparnya. Maka dengan takdir Allah kena dua ekor burung itu lalu jatuh ketanah. Maka segeralah diambil oleh Pak Pandir seraya katanya, tadi aku ajak benar-benar, tiada mahu sekarang baharu hendak pula, sahajakan haji buta perut.
      Maka ia pun berjalan. Seketika lamanya sampailah kerumah. Hari pun hampir petang. Maka didapatinya Mak Andeh masih bersiap menyajikan hidangan sudah teratur sahaja sekadarkan menanti datang orang jemputan. Maka Pak Pandir pun naiklah membawa bapa kambing serta dengan burung pipit ituseraya katanya. Nah Andeh Pak Haji dengan Pak Lebai, bagaikan nak mati aku mengejar. Hendak mengajak makan kenduri seorang pun tiada yang mahu.
     Wah! Apabila dilihat oleh Mak Andeh, apatah lagi, hingga tenarlah bunyi sumpah seranahnya akan Pak Pandir, hingga tiada terdengar oleh anjing dan kucing. Serta katanya, aduhai harapnya hatiku hendak kenduri, di perbuat oleh Pak Pandir keparat umpan alir ini, ta mahu pun di tangkap oleh harimau panjang sembilan itu, sahajakan yang tiada boleh diharap. Kalau muntahkan darah pulangkan kepadanya sahaja pun jadi, tentang kerja jangan. Lain disuruh, lain dibuatnya.
     Maka jawab Pak Pandir, Andeh kata cari lebai yang berjanggut dan haji yang berserban putih ini bukankah dia? Semuanya Andeh marahkan aku. Maka Mak Andeh pun diamlah pun diamlah seraya katanya, baiklah pergi pula panggil Dato Keramat Jin Islam kemari, tetapi baik- baik, jalan itu simpangnya dua yang sebelah kiri itu terus kerumah nenek gergasi.
      Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Pak Pandir pun berjalanlah dengan senjatanya golok sebilah. Berjalan pun berlari-larian sahaja kerana hari hampir petang. Sekejap berjalan sampailah ia kesimpang dua itu. Maka terlupalah ia akan pesan Mak ndeh itu lalu diikutnya jalan simpang kiri. Selang tiada berapa lamanya sampailah kerumah nenek gergasi itu. Maka nenek itu pun sedang tidur bertiga beranak dia dalam rumahnya. Maka Pak Pandir pun berdiri ditengah halaman rumah gergasi itu, lalu ia melaung, katanya Hai nenek Tok Sheikh Keramat, bangunlah! Andeh menyuruh kerumahnya, ia hendak kenduri.
       Maka tiada juga jaga gergasi itu. Maka Pak Pandir pun bertempek dengan sekuat-kuat hatinya, katanya Hai Tok Syeikh Keramat, bangunlah lekas Andeh menyuruh kerumahnya makan kenduri. Maka tiada juga jaga gergasi itu. Maka Pak Pandir pun bertempek dengan sekuat-kuatnya, katanya, hai Tok Sheikh Keramat bangunlah lekas Andeh menyuruh kerumahnya makan kenduri.
        Maka terjagalah gergasi itu ketiga beranak lalu bangun dengan gembiranya mengambil tongkat hendak memukul Pak Pandir. Katanya, ini sekali kenyanglah aku memakan manusia datang menyerahkan dirinya kepada aku. Maka Pak Pandir pun berkata, janganlah aku pula dimakan. Aku mengajak Tok Sheikh makan kenduri daging kerbau dengan nasi terlalu banyak dirumahku. Maka kata gergasi, sungguhkah seperti kata Pak Pandir itu? Jawab pak Pandir sungguh.
         Maka kata gergasi, jikalau demikian baiklah dan jika tiada, nanti aku makan Pak Pandir pula. Jawab Pak Pandir, yalah. Maka nenek gergasi itu pun segeralah mengambil tongkatnya lalu turun berjalan dengan isterinya mengikut Pak Pandir dan anaknya tinggal menunggu rumah. Maka tiada berapa lamanya sampailah kerumah. Pak Pandir pun naik menyergahkan Mak Andeh, katanya, siaplah lekas Andeh, ini Tok Sheikh Keramat sudah datang dua laki bini. Mak Andeh pun pergilah melihat kepintu. Asal terpandang sahaja gergasi itu, ia pun gementarlah oleh ketakutan, serba salah fikirnya, hendak lari pun tiada boleh, seraya fikirnya, jika demikian berserahlah aku kepada dato-dato keramat disini. Jikalau nasib baik, dimanakan boleh jahat oleh perbuatan Pak Pandir celaka keparat ini?
        Maka Mak Andeh pun bersiaplah menghamparkan tikar yang cantik lalu menyuruh gergasi itu naik. Maka gergasi kedua laki bini pun nailah kerumah. Maka Pak Pandir dan Mak Andeh pun berkata, makanlah nenek. Maka gergasi kedua pun muntahkan darahlah sehingga daging kerbau habis enam kawah dan nasi dua kawah, dan ia pun terbelahak, barulah ia berkata kepada Mak Andeh, wahai cucuku, berilah nenek sedikit makanan ini, hendak nenek bawakan anak nenek yang tinggal dirumah.
        Maka kata Mak Andeh, baiklah nenek. Boleh cucu suruhkan Pak Pandir menghantari kerumah. Setelah itu, maka Pak Pandir pun pergilah menghantari anak gergasi u\itu nasi sebakul dan daging sekancah serta dipesan oleh Mak Andeh, katanya, jika tiada lalu ia makan sekarang, suapkanlah baik-baik, jangan disuapkan tulang kerbau itu pula.
        Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka ia pun pergilah menjunjung bakul nasi dan daging itu serta serta tulang kaki kerbau itu sekerat. Hatta tiada berapa lamanya Pak Pandir pun sampailah kerumah gergasi itu. Didapatinya anak gergasi itu sedang dudk di muka pintu menantikan emak bapanya balik. Setelah Pak Pandir sampai, maka anak gergasi itu mengangakan mulutnya hendak makan Pak Pandir. Maka Pak Pandir pun segeralah menuangkan nasi dengan daging itu kedalam mulutnya. Demi dirasa oleh anak gergasi itu akan nyaman makanan itu lalu ditelannya sahajalah dan apabila lambat ia menelan diasak Pak Pandir mulutnya dengan tulang kerbau itu, dihentak-hentakkannya dengan bersungguh-sungguh hatinya mesuk kedalam tekak anak gergasi itu. Maka didalam hal yang demikian habislah nasi sebakul dengan daging sekawah disuapkan oleh Pak Pandir. Maka anak gergasi itu pun mati oleh tersangat kekenyangan.
           Setelah dilihat oleh Pak Pandir anak gergasi itu sudah mati, maka ia pun berlarilah dengan bersungguh-sungguhnya. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh mana dia gergasi itu Andeh? Maka kata Mak Andeh bukankah ia sudah balik, tiadakah bertemu ngan awk dijalan tadi? Kata Pak Pandir, tiada aku berjumpa kerana aku mengikut jalan lain, oleh sebab anaknya sudah mati aku asak dengan tulang kerbau tadi. Sekarang baik kita lari, Andeh jangan ditunggu disini lagi, nanti dimakannya kita.
          Setelah didengar oleh Mak Andeh akan perkataan Pak Pandir itu, maka sangatlah ketakutan hatinya hingga menggeletarlah tulanh sendinya serta dengan pucat mukanya, tiada ia terkata-kata lagi akan barang-barangnya serta lari keduanya. Kata Pak Pandir, kemana baik kita pergi ini, Andeh? Maka kata Mak Andeh, mari kita naik pelampung terap ini, kita menyeberang keseberang sungai ini.
          Maka keduanya pun naiklah keatas pelampung itu, langsung menyeberang keseberang sungai. Telah sampailah keduanya dengan selamat sempurnanya lalu berdiam diri disana. Sebermula maka tersebutlah kisah gergasi berdua laki bini itu. Telah sudah habis makan ia pun berkabarlah kepada Mak Andeh hendak balik kerumahnya, lalu berjalanlah pulang keduanya. Maka dilihatnya akan anaknya sudah mati, penuh didalam mulutnya dengan nasi dan daging serta sekerat tulang kerbau tersengkang dimulutnya.
          Maka keduanya pun bangkit marah dengan berangnya seraya bertempek lalu mengambil tongkang turun berkejar menuju kerumah Pak Pandir. Telah sampai dilihatnya pintu rumah itu terbuka lalu, dimasukinya kedalam rumah itu mencari serata-rata rumah itu, tiada juga orangnya, lalu diturunya jalan kesungai. Telah tiba ketepi sungai serta dilihat oleh Pak Pandir gergasi itu lalu berkata jangan nenek ikut aku, nenek aku tahu anak nenek sudah mati. Bukan aku sengaja, oleh aku hendak segera pulang, maka aku asak dia dengan tulang kerbau itu.
         Setelah didengar oleh gergasi keduanya wah apatah lagi! Makin bertambah-tambahlah berangnya seraya berkata nantilah oleh kamu, aku makan dengan kulit tulang kamu sekali, tiada aku tinggalkan. Maka gergasi itu pun hendak terjun kedalam sungai kata Pak Pandir, jangan nenek hendak menyeberang kesini. Pergilah ambil tempayan besar dirumah cucu itu sebuji seorang, boleh nenek buat perahu menyeberang kemari. Demi didengar oleh gergasi akan kata Pak Pandir itu, keduanya pun berlari-larilah pula naik kerumah Pak Pandir mengambil tempayan dua buah, dibawanya turun kesungai itu. Maka kata Pak Pandir, masuklah nenek seorang sebiji kedalam tempayan itu. Kemudian tudung dengan daun birah supaya jangan masuk air. Maka diperbuatlah oleh gergasi kedua seperti pengajaran Pak Pandir itu. Setelah sudah masuk keduanya pun melonjak-lonjak diri didalam tempayan itu dan tempayan itu pun hanyutlah juga dibawa oleh air deras itu kepada suatu lubuk yang dalam.
          Setelah dilihat oleh Pak Pandir, maka katanya oleng nenek oleng kuat-kuat. Maka kedua gergasi itu pun mengolenglah akan tempayan itu. Kemudian kata Pak Pandir, tumbuk, nenek tumbuk! Maka ditumbuklah oleh gergasi kedua akan daun birah tudung tempayan itu. Setelah daun itu pecah, maka air pun masuklah kedalam tempayan itu. Maka gergasi itu pun segeralah hendak keluar dari dalam tempayan itu, tetapi tiada sempat oleh hidungnya sudah penuh dengan air. Ia pun lemas dan tempayan itu pun berdebuk-debuk masuk air lansung tenggelam pada lubuk yang dalam itu. Maka gergasi kedua pun matilah.
         Telah dilihat oleh Pak Pandir dengan Mak Andeh akan gergasi itu sudah tenggelam, maka kata Pak Pandir, kemana pula kita ni Andeh? Kata Mak Andeh marilah kita balik kerumah kita kerana gergasi itu pun sudah mati. Maka keduanya pun turunlah kepelampung terap lau menyeberang kembali kerumahnya. Telah sampai, kata Mak Andeh, marilah kita pergi kerumah gergasi itu kalau apa-apa hartanya yang ada boleh kita ambil. Maka kata Pak Pandir, lekas-lekas Andeh kalau orang lain pergi dahulu tentulah habis dipapasnya, kita melepas sahaja. Maka keduanya pun berjalanlah. Tiada berapa lamanya lalu sampailah kerumah itu. Maka dilihat oleh Mak Andeh bangkai anak gergasi itu terkangkang sahaja di muka pintu serta dengan buruk dan bengis lakunya. Maka Mak Andeh pun ketakutan. Maka kata Pak Pandir, mari Andeh apa pula yang ditakutkan? Ia sudah mati.
        Maka keduanya pun naiklah kerumah itu mengambil anak kunci membuka bilik-bilik gergasi itu. Pada mula dibukanya yang pertama itu dilihatnya penuhla dengan tulang binatang dan tulang manusia serta rambut dan bulu bertimbun-timbun terlalu banyaknya. Maka dibukanya pula bilik yang kedua, teramatlah sukacita Mak Andeh melihatkan sekalian barang-barang emas gergasi itu daripada agok, dokoh, subang, gelang, keroncong serta lain-lain terlalu banyak.
         Maka kata Pak Pandir, apa namanya ini Andeh? Maka kata Mak Andeh, inilah segala harta gergasi itu, semuanya emas. Sekarang menjadi rezeki kitalah ini. Marilah kita angkut pulang kerumah kita. Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun memungut sekalian perkakasan itu. Dimasukkan kedalam kain selendang lalu didukungnya seberat-berat ia membawa. Pak Pandir pun demikian juga. Setelah itu, MakAndeh pun pergi kedapur. Dilihatnya segala periuk dan belanga gergasi itu semuanya emas. Itu pun dipapasnya juga. Demikianlah empat kali Pak Pandir dengan Mak Andeh berangkut ulang alik barulah habis semuanya. Maka rumah gergasi itu pun dibakarnya. Telah itu Pak Pandir keduanya pulanglah kerumahnya dengan terlalu suka hatinya kerana beroleh harta terlalu banyak itu. Lalu disimpan oleh Mak Andeh kedalam kembung padi, disitu tempat ia menyembunyikan hartanya yang baik-baik. Setelah itu, hari pun malamlah dan Pak Pandir kedua pun tidur dengan kesukaannya. Hatta pada keesokan harinya kata Mak Andeh, pergilah awak Pak Pandir membeli padi, jangan pula dibeli hampa beratnya. Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka ia pun pergi membawa wang dua rial dan karung sebiji. Selang tiada berapa lamanya sampailah ia kesebuah ladang orang dan pada masa itu yang empunya ladang itu pun sedang mengaingin padi membuang hampa. Maka Pak Pandir pun sampailah kepada mereka itu seraya bertanya. Katanya dijualkah padi ini? Maka kata orang itu, kalau kena harganya, dijual juga. Kata Pak Pandir, berilah saya membeli hampa beratnya itu. Maka kata mereka yang empunya itu, ambilah tak usah membeli.
        Jawab Pak Pandir, nah ambillah wang diberi oleh Andeh dua rial ini. Lalu diletakkan dihadapan orang itu. Maka dibubuhkan oranglah hampa beratnya itu kedalam karung Pak Pandir dan wang itu pun diterimlah oleh tuan padi itu. Maka Pak Pandir pun memikul hampa padi itu dibawanya pulang. Maka pada pertengahan jalan itu bertemulah ia denga sungai, kerana pulang itu jalan yang lain diikuti oleh Pak Pandir. Dilihatnya terlalu banyak semut meniti pada suatu ranting kayu yang kecil menyeberang sungai itu. Maka Pak Pandir pun hendak menyeberang juga dan titian yang lain pun tiada. Kemudian fikir Pak Pandir, sedangkan semut itu yang beribu-ribu lagi tahan melalui dari atas kayu ini, apatah pula aku yang seorang. Karung hampa ini pun bukan berapa beratnya. Kalau begitu baiklah aku meniti bersama semut itu.
        Setelah itu, Pak Pandir pun menitilah. Apabila dipijaknya sahaja ranting itu pun patahlah, tiadalah bertangguh lagi. Pak Pandir pun jatuhlah kedalam air bersama-sama dengan karung padi itu, lenyap sekali. Telah dirasai oleh Pak Pandir dirinya terjatuh itu, ia pun berenanglah naik kedarat dengan basahnya dan karung itu pun hanyutlah kehilir, dipandang sahaja oleh Pak Pandir, hendak diambilnya sudah jauh. Kemudian ia pun menharung air sungai itu lalu pulang kerumahnya dengan menggeletar oleh kesejukan.
       Setelah sampai, ia pun meminta kain pada Mak Andeh. Katanya Andeh berilah aku kain. Aku terlalu sejuk ini. Maka kata Mak Andeh, apa pula kenanya awak? Kata Pak Pandir aku jatuh lalu diceritakannya segala perihalnya dari awal hingga keakhirnya. Maka kata Mak Andeh apa awak beli tadi? Jawab Pak Pandir, Andeh kata beli hampa padi yang berat. Wah Mak Andeh pun apa hendak dikata lagi. Terdengarlah sumpah seranahnya akan Pak Pandir serta dilutunya umpama tebuan pecah sarangnya, seraya kata Mak Andeh, bukankah sudah aku pesan jangan dibeli hampa berat? Padinya yang bernas minta oleh Pak Pandir. Kata Pak Pandir, entahlah aku tak tahulah. Tadi aku dengar kata Andeh menyuruh beli hampa berat. Itulah aku cari yang demikian.
       Setelah itu Mak Andeh pun diamlah, tiada terkata-kata lagi kerana pada fikiran Mak Andeh, aku juga yang salah menyuruh si bodoh ini. Hatta sekali peristiwa, pada suatu hari kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, hai Pak Pandir, apatah hal kita ini tersangatlah lamanya kita tiada pernah kenduri akan dato nenek dan kaum keluarga dan anak buah kita yang telah mati. Maka kata Pak Pandir, pergilah Andeh bawakan sekalian buah-buahan dan tebu, pisang, ubi keladi dan korek kuburnya, masukkan supaya dimakan olehnya.
          Maka ujar Mak Andeh, bukannya demikian. Ada pun orang mati itu bukan dia berkehendakkan makan lagi, hanya yang boleh kita tolongi dengan kenduri iaitu meminta doa kepada Allah ta`ala barang di anugerahnya akan mereka itu tempat yang kebajikan. Kata Pak Pandir, kalau begitu apa tahu oleh Andeh, buatlah aku tak tahu. Kemudian kata Mak Andeh, baiklah tetapi pada masa ini semuanya perkakas ada berlaka, hanya yang tiada garam sahaja. Pergilah awak mencari garam kekampung, bawa keladi dan ubi ini tukarkan.
       Jawab Pak Pandir, baiklah. Arakian, maka ia pun pergilah membawa ubi keladi, tebu dan pisang menuju kekampung orang. Tiada berapa lamanya ia pun sampailah. Maka banyaklah tingkah lakunya yang jenaka dipermainkan oleh orang kampung akan dia oleh bingungnya itu. Terlalu suka orang mengusik akan Pak Pandir sehingga latahlah ia. Pak Pandir pun berjalanlah memikul garam sekarung.
         Hatta, setelah Pak Pandir sampai pada separuh jalan, ia pun berasa senak perutnya hendak buang air oleh banyak makan lemak dan manis diberi orang-orang di kampung tadi. Kemudian Pak Pandir menyimpang masuk kedalam semak lalu diletakkannya sumpit garam itu itu di hadapannya. Dengan seketika itu juga datanglah fikiran nya yang ahmak, lalu katanya, wah salah sekali pekerjaanku ini. Sekiranya kalau datang sesuatu kemalangan bagi diriku entah binatang datang mengejar, atau menerkam aku, bukankah sia-sia sahaja aku lari, karung garamku tinggal oleh terperanjat.
         Maka diubahnya ketempat lain serta dilindungkannya di balik semak-semak itu. Kemudian ia pun berbalik ketempat yang mula-mula tadi lalu direnungnya kepada karung itu. Nampak juga kepadanya. Maka berkata pula ia, ini pun suatu pekerjaan yang kurang akal juga. Siapa tah? Kalau-kalau ada orang lalu dialehnya pula ketempat asing diperbuatnya seperti hal yang lalu tadi, selagi nampak diubahnya juga.
         Hatta, lima enam kali diubahnya, kemudian timbul pula suatu ingatannya yang berlainan seraya katanya, ceh, bodoh sekali aku ini. Jikalau aku sembunyikan kedalam air tentu tiada siapa dapat melihatnya. Telah tetaplah fikiran Pak Pandir yang demikian lalu diambilnya karung garam itu, dibawanya pergi mencari tempat yang berair hingga beratus-ratus depa jauhnya barulah ia bertemu dengan suatu anak sungai. Maka karung garam itu pun dibenamkan oleh Pak Pandir kedalam sungai itu. Maka ia pun berjalanlah jauh sedikit lalu direnungnya sumpit garam itu, baru tak nampak lagi kepadanya, seraya ia berkata, sekarang barulah puas rasa hatiku menyembunyikan garamku itu, tiada apa pun yang kelihatan lagi.
        Kemudiaan ia pun pergilah kadha hajat. Telah sudah baharulah ia mengambil pula akan karung garamnya itu. Tetapi apalah gunanya lagi, oleh semuanya sudah pulang keasalnya. Maka dibawalah oleh Pak Pandir karung itu dengan tergopoh-gopoh hendak segera tiba dirumahnya. Hatta serta sampai, maka ditunjukkannyalah kepada Mak Andeh. Serta dilihatnya air turun seperti hujan daripada karung itu, seraya ia bertanya, air apa ini? Di mana garam yang awak cari tadi?
        Maka jawab Pak Pandir, itu bukankah garam? Maka kata Mak Andeh, garam apa yang seperti air ini? Maka oleh Pak Pandir diceritakannyalah segala perihal dari awal hingga keakhir. Maka Mak Andeh pun kenyang tak makanlah oleh perangai Pak Pandir keparat itu. Hanya diamlah ia tiada berkata-kata lagi sambil menyudahkan kerjanya, lalu ia bersumpah didalam hatinya bahawa sekali-kali tiadalah ia mahu menyuruh Pak Pandir sebarang apa pekerjaan, biarlah ia membuat sendirinya. Setelah Mak Andeh tiada mahu lagi menyuruh Pak Pandir membuat sebarang apa pekerjaan, maka ia pun pergilah membawa dirinya sendiri dan membuat kerja mengikut sukanya. Maka pada suatu hari Pak Pandir pun mengambil goloknya pergi menebang buluh, diperbuatnya lukah. Telah sudah lalu ditahannya kepada suatu alur didalam redang. Sudah itu Pak Pandir pun pulanglah kerumah makan minum dengan Mak Andeh.
        Setelah malam hari keduanya pun tidur, dan pada keesokan hari pagi-pagi Pak Pandir pun mencapai goloknya lalu pergi melihat lukahnya. Serta sampai lalu diangkatnya tiada terangkat oleh terlalu banyak ikannya. Maka dikuat-kuati juga oleh Pak Pandir, barulah terangkat olehnya, dibawa naik keatas tebing anak air itu lalu ducurahkannyalah sekalian isi bubunya itu, ikan limbat serta diketuk oleh Pak Pandir dengan goloknya. Telah mati barulah disiangnya dan di basuh serta ia memperbuat salai. Dinyalakan apinya, dan ikan-ikan itu pun diaturnya diatas penyalai.
        Maka api pun dijadikanlah oleh Pak Pandir dengan bersungguh-sungguh hatinya. Diangkutnya sekalian kayu yang besar2 akan kayu apinya. Seketika lamanya ikan salai itu pun tampillah meratah salai itu dua ekor sesuap, empat ekor sesuap dimakannya hingga habislah ikan itu sekerat penyalai barulah Pak Pandir berhenti. Maka ikan yang tinggal lagi dimasukkannya kedalam karung lalu dibawanya memanjat keatas pokok kayu, digantungnya karung itu kepada dahan kayu. Telah sudah, ia pun turun langsung pergi minum air serta menahan lukahnya.
       Maka hari pun hampir petang. Pak Pandir pun pulanglah kerumahnya. Telah sampai, maka Mak Andeh pun bertanya. Katanya kemana awak pergi tadi turun pagi-pagi petang barulah balik? Apa awak buat? Maka sahut Pak Pandir dengan tersipu-sipu, katanya tiada kemana aku pergi, Andeh. Aku berjalan Cuma-Cuma sahaja merata-rata hutan itu hendak mencari makan, suatu apa pun tidak kuperoleh.
        Maka kata Mak Andeh. Membuat penat sahaja Pak Pandir merayau segenap hutan itu. Baiklah makan harta kita yang ada ini cukup. Bukannya kita ada beranak cucu, apatah yang disusahkan mencari kesanan kemari lagi? Maka kata Pak Pandir, aku tiada mahu makan harta andeh lagi, kerana Andeh tak mahu menyuruh aku lagi. Biarlah aku membuat hal aku seorang dan Andeh pun buatlah kerja Andeh sorang, usah dihiraukan hal aku.
        Maka jawab Mak Andeh, bukannya aku tiada mahu menyuruh Pak Pandir. Sebab aku kasihan akan awak kerana tiap-tiap barang apa yang aku suruhkan itu tak pernah sudah dengan sekali, sampai dua tiga kali baru jadi. Oleh yang demikian tersangatlah penat awak aku lihat dan aku pun menjadi sia-sia sahaja menyuruh orang yang tiada tahu. Itulah sebabnya. Janganlah awak syak dan berkecil hati akan aku. Biarlah aku buat sendiri.
        Hatta telah didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh itu, ia pun diamlah dengan masam mukanya tiada berkata-kata. Seketika lagi hari pun malam. Keduanya pun tidurlah. Telah keesokan harinya Pak Pandir pun tiada khali lagi melihat lukahnya. Ikan-ikannya yang dapat semua disalainya. Serta masak sahaja ia pun meratahlah hingga tinggal separuh barulah ia berhenti dan yang lebihnya itu dimasukkannya kedalam karung, digantungkannya pada pohon kayu itu juga. Telah hari petang ia pun pulang. Demikianlah perbuatan Pak Pandir pada setiap hari, meratah ikan salai dengan bersembunyikan daripada Mak Andeh, tiada pernah dibawanya pulang kerumah.
       Maka dengan takdir Allah, lukahnya itu pun tiadalah mahu mengena lagi, beberapa dialih dan ditahannya tiada juga mahu kena lagi, tetapi Pak Pandir tiada khuatir darihal meratah ikan kerana ikan salainya masih ada lagi separuh karung bergantung pada pohon kayu itu. Maka itulah kerjayanya berulang meratah salai itu pada setiap hari keatas pohon kayu itu.
      Maka tersebutlah pula kisah Mak Andeh yang tiap-tiap hari tinggal menunggu rumah seorang dirinya seraya ia berfikir, apa gerangan kerja Pak Pandir hilang sehari-hari tiada berselang ini? Jikalau begitu, baik aku pergi mengintai akan dia.
        Maka Mak Andeh pun mengambil candungnya lalu pergi mengikut jalan Pak Pandir itu. Tiada berapa lamanya sampailah Mak Andeh ketempat penyalai Pak Pandir itu seraya ia mengendap-endap di dalam hutan itu serta memperhatikan Pak Pandir. Maka dengan takdir Allah ta`ala nampaklah kain Pak Pandir tersangkut diatas pohon kayu itu, lalu kelihatanlah Mak Andeh akan Pak Pandir duduk tercapak pada dahan kayu itu sedang meratah ikan salai. Maka nampaklah karung salainya tergantung seperti sarang tempua. Telah nyatalah dilihat oleh Mak Andeh ia pun baliklah kerumahnya bertanak nasi lalu makan sorang dirinya sambil berfikir didalam hatinya, itulah rupanya akal Pak Pandir bedebah itu. Baiklah mana-mana dayaku hendak ku ambil juga ikan salainya itu.
        Telah ia sudah makan lalu berbaring dimuka pintu. Seketika lagi hari pun petang. Mak Andeh pergi mengambil air kesungai. Maka Pak Pandir pun pulanglah oleh sudah kenyang meratah ikan salai itu habis dua karung, langsung ia pergi mandi kesungai serta naik kerumah, dan Mak Andeh pun menyediakan nasi lalu mengajak Pak Pandir makan. Maka kata Pak Pandir, makanlah Andeh dulu,aku sudah kenyang makan buah-buahan kayu didalam hutan tadi.
       Sahut Mak Andeh, awak makan buah-buahan haram tak mahu membawanya aku barang sebiji. Maka kata Pak Pandir, perasaan aku Andeh tak suka makan buah-buahan kayu hutan. Lainlah aku orang sudah biasa tinggal bersama-sama dengaan lotong dan kera. Dari sebab itulah tiadalah kubawakan, besok boleh aku bawakan pula.
       Maka Pak Pandir pun berbaringlah di tengah rumah sambil berdikir-dikir. Maka kata Mak Andeh, apa yang awak takut sekali? Sahut Pak Pandir, aku? Apa pun tiada kutakuti, harimau, gajah, badak, beruang, singa, beruk, dan hantu semuanya boleh ku cundangi, tetapi Andeh, ada suatu binatang sahaja yang terlalu kutakuti.
       Maka kata Mak andeh apa namanya yang awak takuti itu? Cubalah katakan. Maka Pak Pandir hai Andeh jangankan binatangnya, namanya sahaja pun aku takut. Tidaklah Andeh tiada berani aku menyebutnya. Maka kata Pak Pandir ayuhai Andeh, sahajalah sebab Andeh menyuruh juga, kalau tidak mati dibunuh tidak aku mahu berkabar. Namanya binatang itu tok tok kai. Hai Andeh seram rasa badan dan kembang tengkuk aku hendak menyebut namanya.
      Maka kata Mak Andeh, langsungkanlah Pak Pandir maka sahut Pak Pandir, itulah dia binatangnya yang selalu berbunyi.
Tok-tok kai serondung batang,
Dimana hinggap?
Ditengah belakang
      Itulah dia binatangnya yang sangat kutakuti, Andeh. Maka kata Mak Andeh, kalau binatang itu, tidaklah mengapa sangat tetapi aku pun takut juga rasanya. Setelah itu kedua-duanya pun tidurlah. Telah keesokan harinya pagi-pagi, maka Pak Pandir pun pergilah kepohon kayu salainya itu. Serta sampai ia pun memanjatlah lalu meratah salainya itu empat lima ekor sekali suap.
      Ada pun akan Mak Andeh telah dilihatnya Pak Pandir sudah pergi maka ia pun bersiaplah pula pergi mengikut Pak Pandir perlahan-lahan. Serta ia sampai dilihatnya Pak Pandir sedang meratah ikan salai diatas pohon itu. Maka Mak Andeh pun naiklah keatas suatu tunggul yang bertunas. Disitulah Mak andeh berlindung, tiadalah nampak kepada Pak Pandir. Maka Mak Andeh pun berbunyilah seperti bunyi binatang yang sangat ditakuti oleh Pak Pandir itu:
Tok-tok kai serondung batang
Di mana hinggap?
Di tengah belakang
       Wah serta terdengar oleh Pak Pandir bunyi itu, ia tak sedar lagi mencampakkan dirinya dari atas pohon itu serta dengan jerit pekiknya, tiada terkira lagi larinya langsung masuk kedalam hutan rimba raya itu hingga habislah segala tubuhnya di cangkuk oleh sekalian onak dan duri, berlumur dengan darah dan kain bajunya pun habis koyak rabak. Maka ia lari itu haram tiada menoleh lagi kebelakang. Setelah dilihat oleh Mak Andeh kelakuan Pak Pandir itu, maka makinlah sangat diperbuatnya lagi bunyi itu dengan sekuat-kuatnya. Maka didengar oleh Pak Pandir, pada perasaan nya binatang itu sudah hinggap dibelakangnya sahaja. Ia pun makinlah sangat kuat larinya.
        Arakian, telah Pak Pandir sudah lepas, maka Mak Andeh pun pergilah memanjat pohon kayu tempat Pak Pandir terjun itu lalu diambilnya sekalian ikan salai Pak Pandir itu, dibawanya pulang, disembunyikannya dibawah kawah. Seketika lagi hari pun petanglah. Mak Andeh pun menyiapkan nasi Pak Pandir. Dinanti-nantinya tiada juga Pak Pandir balik. Hatta, tersebutlah pula kisah Pak Pandir lari tadi. Hingga beberapa jauhnya ia pergi baharulah hilang pendengarannya bunyi “ Tok tok kai serondong batang “ itu. Maka ia pun berhentilah sedikit oleh teramat penat dan jerehnya, serta ia berjalan perlahan-lahan pula ikut sekehendak kakinya. Dengan takdir Allah ta`ala teruslah Pak pander pulang kerumahnya, sudah pasang dammar, dengan bertelanjang bulat, seurat benang pun tiada berkain, lalu ia meneriak Mak Andeh. Katanya Andeh, Andeh berilah aku kain kerana aku sudah bertelanjang bulat.
        Maka Andeh pun pura-pura membuat marah akan Pak Pandir, dengan tutur nistanya dan carut-capainya akan Pak Pandir seraya membuka pintu. Maka dilihatnya Pak Pandir bercekup kemaluan dengan tangan sahaja. Maka Mak Andeh pun berkata, kena apa Pak Pandir demikian kelakuan seperti orang gila pula?
        Maka ujar Pak Pandir, itulah Andeh, malam tadi kularangkan jangan disebut nama binatang yang aku takut itu, nyaris lagi aku tidak dimakannya sekadarkan dikejarnya sahaja. Lihatlah badan aku calar- balar di makan oleh duri, habis luka seluruh tubuhku ini. Maka Mak Andeh pun tertawa didalam hatinya sahaja melihatkan hal Pak Pandir itu, lalu segera diberinya kain. Setelah Pak Pandir berkain, barulah ia naik kerumah serta dibuangkan oleh Mak Andeh segala duri yang ada pada tubuh Pak Pandir, lalu dibubuhnya ubat pula, dan Pak Pandir pun demam. Maka oleh Mak Andeh dihantarkannya, nasi kehadapan Pak Pandir lalu makanlah ia.
       Telah selesai daripada itu, keduanya pun tidurlah. Telah datang keesokan hari, Mak Andeh pun bangunlah bertanak nasi, seraya dikeluarkannya ikan salai itu empat ekor, dua diberikan kepada Pak Pandir dan dua di tindihnya dibawah pehanya. Maka Pak Pandir. Maka Pak Pandir pun mengisut pergi makan. Keduanya pun makanlah. Maka Pak Pandir makan baharu dua tiga suap, ikan salainya pun sudah habis. Maka kata Pak Pandir, Andeh, Andeh berilah aku lauk sedikit. Lauk aku sudah habis.
        Maka jawab Mak Andeh, ku pun sudah habis juga. Ujar Pak Pandir, ada ku tengok di bawah di bawah paha Andeh itu. Kata Mak Andeh, yang aku makan ini daging paha aku, bukannya ikan salai. Maka Pak Pandir pun segeralah mengambil goloknya menghiris daging pahanya serta dibakarnya, diperbuatnya lauk. Telah dilihatnya oleh Mak Andeh akan kelakuan Pak Pandir itu tersanglah heran dihatinya. Lepas makan Pak Pandir pun makin sangat demamnya, bertambah oleh bentan luka yang diirisnya itu. Kemudian diubati Mak Andeh segala luka Pak Pandir itu. Tiada berapa lamanya dengan takdir Allah ta`ala, sekalian penyakit Pak Pandir itu pun sembuhlah seperti sediakala.
       Sekali peristiwa. Pak Pandir pergi hendak melihat ikan salainya yang tertinggal lagi itu. Maka beberapa kali dicubanya hendak pergi ketempat itu tiada juga berani oleg disangkanya kalau-kalau ada lagi binatang yang hinggap di tengah belakang itu mengendapkan dia disitu. Maka dengan hal yang demikian tiadalah jadi Pak Pandir pergi kesitu, lalu Pak Pandir pergi mencari getah kayu lembu jawa kedalam hutan yang lain. Telah dapat lalu dibawanya pulang ke rumahnya serta dimasaki di campurkan dengan ramuan yang lain. Telah sudah dimasukkannya kedalam tabung buluh getah itu. Maka Pak Pandir pun berjalanlah membawa getah setabung bersama dengan puris nyior secekak, masuk kedalam hutan mencari tempat yang banyak burung hinggap.
        Ada seketika bertemulah Pak Pandir sepohon ara yang terlindung rending serta dengan lebat buah-buahan sedang masak. Maka banyaklah sekalian burung-burung berhimpun memakan buah itu. Maka terlalulah sukacita Pak Pandir, seraya ia berfikir, sekalian ini paksa terkukurlah mendapat padi rebah. Tak dapat aku makan ikan tak usahlah asalkan aku kenyang makan burung pula sudahlah.
        Maka Pak Pandir pun segeralah memanjat pohon ara itu menahan getah pada segenap dahan dan ranting pohon itu. Setelah sudah ia pun turun bersembunyikan dirinya. Ada seketika datanglah beberapa bangsa kawan burung hinggap ke pohon itu memakan buahnya. Maka terkenalah pada getah Pak Pandir, ada yang kena pada kakinya ada yang pada sayapnya, berbagai-bagai lalu jatuh ketanah. Maka dipungut oleh Pak Pandir, diikatnya dengan tali, lalu dibelitnya pada pinggangnya.
        Demikianlah diperbuat oleh Pak Pandir hingga lima enam ratus ekor berbelit-belit tali itu pada seluruh tubuhnya, dan diikatkannya pula pada paha dan kaki tangan serta kepalanya sehingga tubuhnya tiada kelihatan lagi diliputi oleh sekalian burung-burung itu. Demi dirasa oleh sekalian burung itu ia telah terikat kakinya, maka ia pun menggelupurlah mengembangkan sayapnya lalu terbang.
        Maka Pak Pandir pun diterbangkannyalah keatas udara, beberapa kali Pak Pandir hendak berlepas diri tiada juga dapat. Kemudian ia pun mendiamkan dirinya, barang kemana diterbangkan oleh burung itu sahaja. Maka hari pun telah malamlah, dan bulan pun terang cuaca empat belas hari bulan.
        Maka dengan takdir Allah ta`ala Pak Pandir diterbangkanlah oleh burung-burung itu pun sampailah kekampung Raja Shah Malim. Telah dilihat oleh kundang-kundang baginda itu, masing-masing pun terkejutlah, ia berlari-lari kesana kemari, kerana sangka mereka tentu jin hantu atau dewa-dewa mambanglah yang boleh terbang demikian itu. Seketika lagi burung itu pun letihla lalu terjatuh keatas kebumbung istana Raja Shah Malim itu. Maka Pak Pandir pun terlalu sakit segala sendi anggotanya oleh terhempas keatas bumbung itu. Dalam pada itu ia pun teringat akan goloknya, lalu ditetasnya sekalian tali ikatan burung-burung yang merata tubuhnya itu. Maka sekalian burung-burung itu pun habislah terbang, mana-mana yang telah letih jatuh berkaparan ketanah.
       Telah sudah Pak Pandir pun berseru dengan nyaring suaranya. Demikian bunyinya, padam dammar, padam pelita, Raja Mambang hendak turun, hingga tiga kali berturut-turut demikian bunyinya juga.
       Maka kedengaranlah kepada inang pengasuh Tuan Puteri Dang Lela. Maka segeralah di persembahkannya kepada baginda. Maka titah baginda, jikalau demikian bersedialah kamu sekalian, aku hendak mengambil Raja Mambang itu itu akan menantuku, kerana aku pun telah berniat dari dahulu hendak bermenantukan dia.
       Maka sekalian inang pengasuh Tuan Puteri itu berhadirlah, dan baginda pun lalu turun ketanah dengan sekalian budak kundangnya melihat keatas bumbung istananya bahawa sesungguhnya adalah seorang orang terdiri diatas bumbung itu. Maka titah baginda, ambillah tangga. Dirikan disini supaya ia turun.
      Setelah sudah maka baginda sendiri menyeru, katanya Ya anakku, Raja Mambang, silalah tuan turun mendapatkan ayahdanya.
      Maka Pak Pandir keparat pun turunlah mengikut tangga itu mendapatkan baginda. Maka dibawa oleh baginda, diserahkan kepada inang pengasuh Tuan Puteri, disuruh sintuk limau, bedak langir akan Raja Mambang itu. Telah sudah lalu diakad nikahkan oleh baginda sendiri dengan anakanda baginda Tuan Puteri Dang Lela didalam gelap buta itu juga, kerana Raja Mambang ini tiada boleh dikenai oleh sinar api. Telah sudah kawin lalu dibawa masuk kedalam pelaminan. Maka Tuan Puteri pun lari keluar duduk bersama dengan inang pengasuhnya. Beberapa dipujuk oleh inang dan dayang tiada juga Tuan Puteri mahu masuk beradu dengan Raja Mambang itu.
Hatta, selang tiada berapa lamanya hari pun siang, hujan turun rintik-rintik. Maka Pak Pandir pun bersandarlah kepada bantal besar sambil merungut perlahan-lahan. Katanya, aduhai, hujan atang ini alau ada Andeh akar isang alangkah sedap ulutku. Maka lama hujan itu pun bertambah lebatnya, demikian juga rungut Pak Pandir. Lama kelamaan kedengaranlah rungut Pak Pandir itu kepada inang pengasuh Tuan Puteri, lalu dipersembahkanlah kepada baginda.
Demi didengar oleh baginda, apatah lagi, murkalah baginda, lalu bertitah kepada budak kundangnya menyuruh kuliti kepala Pak Pandir bedebah itu dari tengkuk serkupkan kemukanya kerana ia mengaku dirinya Raja menipu baginda terlalulah bengisnya baginda. Maka dikerjakanlah oleh budak-budak kundang itu seperti titah rajanya. Masuk mereka kedalam bilik peraduan Tuan Puteri menangkap Pak Pandir, ditariknya turun ketanah. Maka Pak Pandir pun terkejut lalu menangis sambil meneriak Mak Andeh meminta tolong. Maka dikerjakan orang juga seperti titah baginda itu. Telah sudah lalu dibuangkannya Pak Pandir kedalam hutan. Setelah itu mereka itu pun pulanglah lalu dipersembahkan kepada baginda segala hal itu. Maka baginda pun beberapa menanggung dukacita dan kemaluan kena tipu oleh Pak Pandir itu, lagipun baginda tiada dengan usul periksanya mengambil Pak Pandir dikahwinkan dengan Tuan Puteri anak baginda itu.
Maka tersebutlah perkataan Pak Pandir. Telah dibuangkan orang kedalam hutan, maka ia pun menangis oleh terlalu sangat lapar dan dahaganya serta dengan letih lesunya pula, sambil berjala. Tiada beberapa lamanya dengan takdir Allah ta`ala, sampailah balik rumahnya. Maka pada masa itu Mak Andeh pun sedang duduk dimuka pintu. Serta ia melihat Pak Pandir ia pun bertanya, apa kena awak, Pak Pandir seperti rupa orang yang kesakitan kulihat ini dan kulit kepala pun terserkup kemuka?
Maka jawab Pak Pandir, inilah rupa tanggungan aku Andeh. Lalu diceritakannya daripada awal hingga keakhirnya. Maka Mak Andeh pun terlalulah amat marahnya akan Pak Pandir, lalu dibawanya naik kerumah, dibetulkannya kulit kepala Pak Pandir itu, dibubuhnya ubat, dibungkusnya dengan kain. Maka Pak Pandir pun berbaringlah mengidapkan lukanya itu kira-kira dua bulan tiada pergi kemana lagi.
Didalam hal yang demikian itu, luka Pak Pandir pun sembuhlah sekaliannya. Maka ia berkata kepada Mak Andeh minta perbuatkan perbekalan, kerana ia hendak menumpang barangsiapa yang hendak belayar, oleh terlalu ingin rasanya hendak melihat negeri orang. Maka Mak Andeh pun membuatlah penganan daripada wajek dan dodol serta lain-lainnya kira-kira dua belas buyung penuh semuanya lalu disimpan diatas para.
Setelah sudah maka kata Mak Andeh , bila awak akan pergi? Aku hendak pergi mencari sayur-sayur kedalam repuh itu. Maka kata Pak Pandir, sekaranglah juga aku hendak pergi? Aku hendak pergi mencari sayur-sayur kedalam repoh dan didalam tujuh hari ini apabila berbunyi bedil dikuala, alamat aku akan sampailah dari belayar. Siap-siaplah Andeh, sapu sampah dan buang sekalian sawang sarap diatas rumah kita ini.
Setelah ia berpesan,maka Mak Andeh pun memberikan wang seratus rial itu kepada Pak Pandir dan ia pun lalu pergi mencari sayur. Maka Pak Pandir pun berkemaslah naik keatas para tempat buyung penganan itu lalu dimakannya habis dua buyung. Ia pun berdiamkan dirinya. Seketika lagi Mak Andeh pun baliklah lalu bertanak dan menyayur serta makan sambil merungut, sudah belayar agaknya Pak Pandir tadi.
Maka seketika lagi hari pun malamlah. Maka Mak Andeh tidur seorang dirinya. Maka tersebutlah perkataan Pak Pandir yang memakan kuih itu habis sebuyung pula. Maka bibir mulutnya pun habis dimakan oleh tikus, ia menderita sahaja, lama-lama habislah bibir atas dan bibir bawah oleh dicium tikus itu berbau lemak dan manis. Itu pun tiada juga Pak Pandir hiraukan. Ia makan juga hingga terseringing tinggal gusi sahaja.
Hatta, telah genaplah tujuh hari, dengan takdir Allah ta`ala. Pak Pandir pun bersin yang teramat kuat. Maka Mak Andeh pun berfikir. Iaitu tentulah bunyi bedil dikuala. Lalu ia pun segeralah menyapu sampah dibawah dan diatas rumah. Kemudian Mak Andeh pun membuang sawang-sawang yang ada para itu. Maka terkejutlah Pak Pandir seraya melompat, katanya, aku Andeh, bukan siapa. Lalu ia menjengukkan mukanya kepada Mak Andeh seraya berkata. Hai andeh tengok igi ada ibir tidak.
Asal terpandang sahaja sumpah seranahlah akan Pak Pandir lalu dipalunya dengan penyapu. Maka Pak Pandir pun turunlah dari atas para seraya berkata, igi ada, ibir tidak juga kepada Mak Andeh serta dijeringing-jeringingkannya mulutnya. Maka bertambah-tambah dahsyat Mak Andeh melihatnya oleh terlalu buruk rupanya.
Arakian pada suatu hari kata Mak Andeh, aku hendak membuat huma Pak Pandir, tunggulah oleh awak rumah kita ini. Maka kata Pak Pandir, aku hendak sama juga menebang dan menebas dengan Andeh. Kata Mak Andeh baiklah.
Maka kedua-duanya pun pergi bekerja dari pagi-pagi. Setelah tengah hari keduanya pun berhentilah di pondok. Maka kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, pergilah awak pulang kerumah, mengambil api boleh kita bertanak disini. Susah hendak balik kerumah, terlalu jauh.
Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh , tetapi bakarlah aku pisang dahulu. Maka kata Mak Andeh ialah pergi Pak Pandir ambil api dahulu.
Maka jawab Pak Pandir, aku tak mahu, kalau Andeh tidak membakarkan pisang, tidaklah aku hendak sekali-kali. Demikianlah bertolo-tolo Pak Pandir dengan Mak Andeh. Maka oleh terlalu geram hati Mak Andeh diambilnya pisang muda dua butir, lalu dilegamlah rupa pisang itu. Kemudian diunjukkannya kepada Pak Pandir. Katanya, nah lantak sungguh-sungguh.
Maka diambillah oleh Pak Pandir akan pisang itu lalu turun berjalan hendak mengambil api kerumah. Maka dikoyaknyalah kulit pisang itu, dilihatnya pisang itu betul-betul tidak masak dan dimakannya kelat pula. Maka Pak Pandir pun menangislah seraya katanya, hoi, hoi Andeh akar isang angus aja asak idak. Sambil ia berjalan juga sampai kerumah lalu mengambil api serta ia balik kehuma mendapatkan Mak Andeh dengan tangisnya menunjukkan pisang itu. Katanya Andeh akar isang angus aja asak idak. Demikianlah beberapa kali.
Maka Andeh mendengarkan rungut Pak Pandir itu mengkal sahajalah didalam hatinya, hendak tertawa takut kalau-kalau Pak Pandir marah. Maka kata Mak Andeh, baiklah, boleh ku bakarkan yang lain, jangan bising, Pak Pandir. Setelah sudah Mak Andeh menghidupkan api lalu ia bertanak dan sambilnya juga membakar pisang Pak Pandir. Telah masak, diunjukkan kepada Pak Pandir pisang itu, sedan panas-panas lagi dua tiga butir. Maka disambut oleh Pak Pandir lalu dimakan dengan tak sempat berkupas kulitnya lagi ditelannya bulat-bulat. Setelah pisang itu sampai kedalam perut Pak Pandir, maka ia pun menggelupurlah hempas pulas kesana kemari tiada ketahuan lagi. Ada seketika Pak Pandir pun kembalilah ke negeri yang kekal, lalu ditanamkan oleh Mak Andeh di bawah lesung penumbuk padi.
Maka tinggallah Mak Andeh seorang diri dengan duka percintaannya. Ada kira-kira selang tiga bulan Mak Andeh pun sakit lalu mati. Demikianlah ceritanya.